Utama Pejabat Tun Biografi Galeri Tun Galeri Media Hubungi Kami Maklum Balas
 

Biografi Tun Abdullah Ahmad Badawi

Allahyarhamah Tun Endon Mahmood

Allahyarhamah Tun Endon Mahmood (24 Disember 1940 - 20 Oktober 2005) merupakan isteri pertama kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.

Tun Endon dilahirkan dalam keluarga campuran Melayu - Jepun pada 24 Disember 1940, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Anglo Chinese yang kini dikenali sebagai "Sekolah Kebangsaan Methodist" di Kampar, Perak. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat menengah di St Mary's Secondary Girls' School di Kuala Lumpur.

Tun Endon mendirikan rumah tangga dengan Tun Abdullah pada 4 September 1965 ketika mereka berdua masih berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan di Jabatan Perkhidmatan Awam. Beliau bersara pilihan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1976. Dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Datuk Kamaluddin dan Puan Nori.

Pencapaian

Ketika hayatnya, beliau amat aktif dalam kerja amal dan kemasyarakatan serta giat mempromosi seni fabrik warisan negara, termasuk batik dan kebaya nyonya. Tun Endon telah dipilih sebagai "Tokoh Jarum Berlian Malaysia 2004" kerana daya usahanya memartabatkan seni warisan negara. Di persada antarabangsa, naman beliau begitu sinonim dengan kebaya nyonya, batik dan songket. Minatnya terhadap hasil seni tangan rakyat tempatan yang bersemi di jiwanya sejak zaman remaja mendorong Tun Endon mengumpul dan menganjurkan pameran pelbagai jenis busana. Koleksinya dikumpul dan dirakamkan dalam sebuah buku berjudul "The Nyonya Kebaya" yang dihasilkan pada bulan November 2002. Ia disusuli pula dengan satu simposium dan pameran di Balai Seni Lukis Negara pada 2003. Buku itu diulang terbit pada Mac 2005 dengan tajuk baru, "A Century of Straits Chinese Costume".

Tun Endon adalah pengasas dan pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) serta turut dilantik sebagai Canselor pertama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) sejak Disember 2004. Beliau juga merupakan Yang DiPertua Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).

Beliau juga berminat dalam bidang pertanian dan sebagai mengenang jasanya, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (MARDI) menamakan baka orkid baru dengan nama beliau, Orkid Mokara Datin Seri Endon.

Beliau turut mengabadikan diri dalam kegiatan antarabangsa seperti Tabung Kebajikan Bosnia, Tabung Kanak-Kanak Korea Utara, Tabung Kebajikan Kosovo dan Penaung Wanita ASEAN.

Dalam negara, beliau pernah menerajui dan menjadi penaung beberapa persatuan termasuk:
  • Persatuan Pandu Puteri Islam Malaysia
  • Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM)
  • Persatuan Wanita Antarabangsa Kuala Lumpur
  • Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia
  • Pertubuhan Kesihatan Kanak-Kanak Kebangsaan Malaysia
  • Persatuan Penulis Wanita Malaysia
  • Penaung Puspanita
  • Penaung Persatuan Wanita Kementerian Luar (Perwakilan).

Anugerah lain yang pernah diterima oleh Tun Endon termasuklah Pingat Emas Tun Fatimah daripada "Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia" (NCWO) pada Ogos 2004 dan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Ogos 2004. Tun Endon telah dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (S.S.A.P) pada tahun 2002 dan beliau juga dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun daripada Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 6 Jun 2009.

Pada 17 April 2002, Tun Endon telah menjalani pembedahan membuang payu dara di St John\'s Medical Center, Los Angeles, Amerika Syarikat. Kakak kembarnya iaitu Noraini Mahmood yang lebih awal didiagnosiskan dengan penyakit yang sama telah meninggal dunia pada 4 Januari 2003. Doktor mengesahkan Tun Endon mengidap kanser pada 2001. Setelah pulang dari rawatan di Amerika Syarikat, beliau dimasukkan ke Hospital Putrajaya.

Tun Endon meninggal dunia pada 20 Oktober 2005 bersamaan dengan 16 Ramadhan 1426 Hijrah akibat kanser payu dara, 18 hari selepas beliau kembali ke Malaysia. Beliau yang meninggal dunia pada umur 64 tahun dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.50 pagi di depan ahli keluarganya. Tun Endon dikebumikan di Perkuburan Muslim Putrajaya di Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya selepas solat Asar.

Kongsi Halaman Ini :