Utama Pejabat Tun Biografi Galeri Tun Galeri Media Hubungi Kami Maklum Balas
 

Biografi Tun Abdullah Ahmad Badawi

Perdana Menteri Ke-5

YABhg Tun Abdullah, Perdana Menteri ke-5 telah memperkenalkan konsep baru dalam pentadbirannya iaitu Misi Nasional, Pelan Integriti Nasional, Pembangunan Koridor Ekonomi, Islam Hadhari dan Pembangunan Modal Insan. Jika dilihat dalam misi nasional yang telah dilancarkan semasa pembentangan RMK9, Tun Abdullah telah menggariskan lima teras utama diantaranya ialah meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, menangani masalah ketidak samaan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif, meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan


Pelan Integriti Nasional telah dilancarkan pada 23 April 2004, oleh Tun Abdullah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur. Pelan Integriti Nasional adalah satu pelan atau rancangan yang dirancangkan serta dilancarkan oleh kerajaan Malaysia dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia. Budaya etika dan integriti ini adalah amat penting dalam mana-mana organisasi kerana ia memastikan perlaksanaan apa jua program serta matlamat dicapai dengan baik serta beretika. Pelan ini membolehkan Kerajaan merancang pelbagai program secara teratur dalam usaha membudayakan etika dan integriti masyarakat.


Konsep Islam Hadhari pula memberi tekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Konsep ini sebagai panduan usaha pembangunan di Malaysia dan dunia Islam yang lebih luas. Langkah ini ke arah tamadun Islam yang progresif bertujuan untuk menjadikan umat Islam memahami itulah kemajuan yang dituntut oleh Islam. Ia adalah satu pendekatan yang serasi dengan kemodenan tetapi tegas berakar umbi dalam nilai-nilai mulia dan ajaran Islam.

Islam Hadhari yang mendukung sepuluh prinsip penting telah diterima oleh umat Islam dan bukan umat Islam. Prinsip-prinsip ini adalah menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan berbilang kaum. Pendekatan yang digariskan juga adalah untuk memperkasakan umat Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.

Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun yang menyeluruh serta berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing umat. Warisan dan tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam dalam semua bidang perlu dijadikan rujukan dan sumber inspirasi memajukan masyarakat Malaysia.


Tun Abdullah juga memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan sebagai tunggak utama dalam pentadbiran beliau. Ini adalah untuk memperkukuhkan pendidikan peringkat rendah dan peringkat lebih tinggi di Malaysia, untuk meningkatkan daya pemikiran dan menyemai etika nilai-nilai murni, moral dan keagamaan. Sains dan teknologi digalakkan lagi, manakala inovasi dan kreativiti telah di tekankan untuk lebih maju.

Cemerlang dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa, sebagai Perdana Menteri, Tun Abdullah perlu meningkatkan kerjasama dua hala dan pelbagai hala, aktif mengetuai Persatuan Bangsa-Bangsa Asia Tenggara (ASEAN), Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) apabila Malaysia menjadi pengerusi organisasi antarabangsa.

Tun Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009.

Kongsi Halaman Ini :