Biografi
Biodata Peribadi
YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak sulung kepada Haji Ahmad Bin Haji Abdullah Fahim atau lebih dikenali sebagai Ahmad Badawi dan Datuk Khailan Binti Haji Hassan. Tun Abdullah berasal daripada keturunan keluarga ulama terkenal di Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, Kepala Batas (1947-1950) hingga darjah empat dan kemudiannya meneruskan persekolahannya di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang untuk pengajian diperingkat Tingkatan Enam. Pada tahun 1957, semasa berada di tingkatan lima beliau telah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Pulau Pinang dan Seberang Prai (PPMPPSP). Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya, amat aktif dalam isu-isu pendidikan orang Melayu, pada tahun 1962 beliau telah dilantik sebagai Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan seterusnya pada tahun 1964 beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam. Tun Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood (24 Disember 1940 – 20 Oktober 2005) dan Tun Jeanne Abdullah
KERJAYA DAN KEJAYAAN
PENGLIBATAN POLITIK
Tun Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga tahun 2013. Tun Abdullah menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Beliau telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO Tahun 2000, Tun Abdullah telah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 – 2003.
Tun Abdullah meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam dan bertanding sebagai ahli Parlimen Kepala Batas pada Pilihanraya 1978 dan menang dengan majoriti. Pada tahun 1987, UMNO mencatat sejarah akibat berlaku perebutan kuasa di peringkat tertinggi di antara Tun Mahathir (Presiden UMNO pada ketika itu) dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Tun Abdullah turut sama terheret dalam perebutan kuasa ini. Beliau telah memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh dalam perebutan itu yang turut memberi kesan kepada kariernya dalam politik. Tun Abdullah tidak dilantik dalam kabinet baru Tun Dr Mahathir Mohamad. Walau bagaimanapun kesetiaan beliau terhadap perjuangan UMNO tetap utuh dan terus kekal.
PENGLIBATAN NGO/AWAM
Selepas bersara sebagai Perdana Menteri, YABhg. Tun Abdullah telah giat aktif bersama NGO Awam. Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Institut ini ialah satu badan yang ditubuhkan untuk memberi kefahaman Islam yang sebenarnya demi menjaga kesucian ajaran Islam yang sebenar tanpa menyentuh perkara-perkara retorik atau menyimpang dari jalan yang ditetapkan. Beliau juga pernah menjadi penaung Institut Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) yang ditubuhkan oleh beliau pada tahun 2009. Institut ini menjadi saluran utama kepada pelajar aliran Arab/Agama untuk meneruskan pengajian ke peringkat pengajian tinggi serta bertujuan untuk meninggi dan mendalamkan ilmu pengetahuan umat Islam di bidang keagamaan di negara ini.
Tun Abdullah juga dulunya adalah penaung pengasas untuk Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang merupakan inisiatif Malaysia ke arah meningkatkan lagi kerjasama ekonomi di kalangan negara-negara Islam untuk menerokai peluang bagi meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dalam kalangan mereka. Tun Abdullah juga pernah memainkan peranan penting sebagai penasihat kerajaan iaitu penasihat pembangunan koridor Malaysia dan penasihat Malaysia Airlines. Diperingkat antarabangsa, Tun Abdullah dulunya adalah ahli InterAction Council, ahli lembaga BOAO Forum untuk Asia (BFA) dan pengerusi Commonwealth Eminent Person Group dari tahun 2010 hingga 2011. Beliau juga adalah salah seorang ahli pengasas Asian Peace and Reconciliation Council (APRC).