Galeri
Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi dibuka secara rasmi oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara pada 17 Oktober 2012 bersamaan 1 Zulhijjah 1433 Hijrah. Galeri yang berkeluasan 5,518.94 kaki persegi terletak di Unit 3, Aras 9, Menara Prisma, Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya bersebelahan Pejabat Bekas Perdana Menteri, YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Galeri ini mempamerkan koleksi Pingat/Darjah Kebesaran, Anugerah Doktor Kehormat, cenderamata, dokumen, gambar, lukisan, keratan akhbar dan buku-buku yang dihadiahkan oleh Jabatan Kerajaan, swasta, orang perseorangan serta dari Ketua-Ketua Negara semasa YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Pameran di galeri ini terbahagi kepada lapan (8) bahagian iaitu:
Sejarah Awal
Sejarah yang dikongsi bersama dalam bahagian ini adalah mengenai kelahiran YABhg. Tun Abdullah, mengimbau zaman kanak-kanak, persekolahan sehingga pengajian di peringkat Universiti. Kombinasi koleksi dokumen dan gambar menerangkan latar belakang Tun Abdullah, salasilah keturunan, keluarga dan penglibatan yang aktif dalam pasukan beruniform, aktiviti persatuan dan kemasyarakatan.
Kerjaya Dan Kejayaan Dalam Perkhidmatan Awam
Bahagian ini mempamerkan kerjaya dan kejayaan YABhg. Tun Abdullah sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik dalam perkhidmatan awam dari tahun 1964 hingga 1977.
Penglibatan Dalam Politik
Fasa penglibatan YABhg, Tun Abdullah dalam politik bermula tahun 1978 apabila bertanding sebagai ahli Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang sehingga 2004 apabila beliau dilantik sebagai Presiden menerajui pucuk pimpinan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Oktober 2003 hingga Mac 2009.
Jawatan-Jawatan Dalam Pentadbiran
Pelantikan YABhg. Tun Abdullah sebagai Anggota Pentadbiran bermula pada tahun 1978 sebagai Setiausaha Parlimen, Kementerian Wilayah Persekutuan. Sehingga tahun 1999, YABhg. Tun Abdullah Telah menerajui beberapa Kementerian sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri.
Timbalan Perdana Menteri
YABhg. Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 8 Januari 1999. Tanggungjawab dan pembaharuan yang dilaksanakan semasa perkhidmatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dipamerkan di bahagian ini.
Perdana Menteri
Peristiwa-peristiwa penting YABhg. Tun Abdullah semasa memegang puncak perkhidmatan tertinggi Negara sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima diabadikan di bahagian ini. Sepanjang lima tahun lima bulan, YABhg. Tun Abdullah menerajui Negara, pelbagai dasar, program dan pembaharuan telah diperkenalkan untuk memastikan rakyat dan Negara ini sentiasa berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera serta mencapai hasrat ke arah “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”.
Hobi Dan Koleksi
YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi mempunyai minat dan hobi dengan bermain sukan golf yang banyak dipengaruhi oleh isterinya, Tun Endon. Baginya sukan golf bukan sahaja sebagai hobi tetapi sebagai medium sosial dan diplomasi yang berkesan. Memancing di laut dalam pula merupakan hobi Tun Abdullah yang tidak diketahui umum. Aktivtiviti memancing dilakukan sewaktu bercuti bersama keluarga dan sahabat handai. Pulau Pangkor merupakan salah satu destinasi percutian kegemaran Tun Abdullah yang mana sambil berlibur, beliau dapat meluangkan masa memancing di laut. Satu lagi, hobi yang diminati beliau adalah mengumpul tongkat. Minatnya bermula apabila beliau membeli sebatang tongkat yang cantik ukirannya di Bukit Peranginan di Pakistan. Tun Abdullah sendiri dalam lawatan ke luar negara, sekiranya terdapat tongkat yang menarik akan dibelinya.
Pingat / Darjah Kebesaran & Anugerah Kehormat
Koleksi Pingat /Darjah Kebesaran dan Anugerah Doktor Kehormat yang diterima oleh YABhg. Tun Abdullah dari dalam dan luar negeri merupakan bukti penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa beliau semasa berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Malaysia.