Perdana Menteri ke-5

YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah memperkenalkan lima teras semasa pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri.

5 TERAS

19 May 2010 – Tun Abdullah Badawi speaking as one of the panelists. On his right is H.E. Dr Surin Pitsuwan, the Secretary General of Asean. Venue: KLCC, Kuala Lumpur

01

MISI NASIONAL

Semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-9 pada 1 April 2006, Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Kewangan telah memperkenalkan Misi Nasional sebagai penggenap dan pelengkap kepada Wawasan 2020. Misi Nasional sebagai rangka dasar dan pelaksanaan pembangunan terdiri daripada lima teras utama iaitu:

a) Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara,
b) Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’,
c) Menangani masalah ketidaksamaan sosio-ekonomi secara membina dan produktif,
d) Meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup, dan
e) Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan Negara

Pembangunan modal insan telah menjadi agenda utama dalam Misi Nasional. Kepentingan pembangunan modal insan adalah berkaitan dengan peningkatan tahap pendidikan, kemahiran, akhlak dan berkeyakinan sepertimana dalam ucapannya semasa merasmikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-48. “Untuk membangunkan modal insan, kita mahu memberi ilmu pengetahuan yang secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekerti mulia, yang mempunyai hemah yang tinggi, yang berjiwa besar, cintakan negara dan mereka juga mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani”.

02

PELAN INTEGRITI NASIONAL

Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 23 April 2004 di Putrajaya, PIN merupakan pelan jangka panjang yang menyeluruh, lahir daripada aspirasi rakyat dan pemimpin berdasarkan Cabaran Keempat Wawasan 2020 iaitu untuk “membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya yang mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”.
Serentak dengan pelancaran PIN, Kerajaan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai agensi penyelaras dan pemantauan pelaksanaan PIN. Pelancaran PIN dan penubuhan IIM merupakan pendorong utama ke arah usaha dan pencapaian agenda integriti negara.
Pada tahun 2008, pelaksanaan PIN telah diperhebat dengan lahirnya misi TEKAD 2008. Lima sasaran keutamaan TEKAD 2008 bagi pelaksanaan PIN (tahun 2004-2008) ialah:

a) Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan,
b) Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi,
c) Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan,
d) Memantapkan institusi keluarga dan komuniti, dan
e) Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

Akademi Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga telah ditubuhkan iaitu yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik bagi membuktikan kesungguhan Malaysia untuk membanteras rasuah. Kewujudan akademi ini membawa makna besar kepada usaha berterusan negara menangani masalah rasuah secara serius. Dengan adanya akademi ini, ia turut melengkapkan matlamat penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM).

03

PEMBANGUNAN KORIDOR EKONOMI

Di bawah kepimpinan Tun Abdulah Ahmad Badawi, pembangunan lima Koridor Wilayah telah dilaksanakan bagi merapatkan jurang pendapatan antara rakyat. Inisiatif ini membabitkan penyediaan infrastruktur dan memanfaatkan sumber-sumber yang terdapat di kawasan luar bandar untuk meningkatkan taraf socio-ekonomi. Pembangunan ini adalah sebahagian dari inisiatif dibawah Rancangan Malsyia Kesembilan (RMK-9). Pendekatan akhirnya adalah untuk memastikan adanya pengagihan, peluang dan pelaburan yang bermutu dan adil bagi semua kawasan koridor

a) Wilayah Ekonomi Johor Selatan atau lebih dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) telah dilancarkan pada 4 November 2006
b) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dilancarkan pada 30 Julai 2007 meliputi Kedah, Perlis, Seberang Perai dan Perak Utara.
c) Koridor Pantai Timur atau Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilancarkan pada 29 Oktober 2007 merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang
d) Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dilancarkan pada 18 Januari 2008
e) Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) dilancarkan pada 11 Februari 2008

04

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah pelopor dan pengasas kepada satu konsep baru dalam gagasan pemikiran dan pembangunan negara Malaysia iaitu ‘Pembangunan Modal Insan’. Beliau berpendapat bahawa konsep baru ini amat penting kerana ia akan melengkapkan lagi proses pembangunan fizikal negara. Malah konsep ini berkait rapat dengan proses peningkatan jaminan kualiti dan Key Performance Indicator (KPI) pembangunan negara.
Beliau telah mencetuskan revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah negara yang Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang Wawasan 2020. Modal insan bermaksud sesuatu yang digunakan sebagai asas untuk pengembangan dan kelebihan yang dimiliki. Manusia pula boleh memperolehi sesuatu yang dihajati hanyalah melalui ilmu pengetahuan dan pendidikan.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi. Modal Insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing.

05

ISLAM HADHARI

Pendekatan Islam Hadhari adalah gagasan besar yang telah diperkenalkan oleh Tun Abdullah, buat julung kali dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung UMNO kali ke-55 pada 23 September 2004 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC). Bagi memantapkan lagi konsep Islam Hadhari, sebuah Institut Islam Hadhari, UKM telah ditubuhkan pada 10 Mei 2007, ia kemudian diperlengkapkan Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, Terengganu yang menjadi mercu tanda baru Malaysia yang telah dirasmikan pada Februari 2008. Antara kejayaan besar dan paling bermakna bagi umat Islam di Malaysia selepas pengenalan pendekatan Islam Hadhari adalah kejayaan menghantar angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pada 10 Oktober 2007. Kejayaan ini juga adalah bertepatan dengan prinsip penguasaan ilmu pengetahuan dalam pendekatan Islam Hadhari seperti Sheikh Al Azhar dan ulama Islam terkenal iaitu Sheikh Qardawi.
Islam Hadhari juga telah dijadikan Dasar Nasional dalam perancangan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara Islam menjelang 2020. Ia memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dibina melalui pegangan ajaran agama Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan dan kemajuan melalui penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.

Fokus

Tun Abdullah juga memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan sebagai tunggak utama dalam pentadbiran beliau. Ini adalah untuk memperkukuhkan pendidikan peringkat rendah dan peringkat lebih tinggi di Malaysia, untuk meningkatkan daya pemikiran dan menyemai etika nilai-nilai murni, moral dan keagamaan. Sains dan teknologi digalakkan lagi, manakala inovasi dan kreativiti telah di tekankan untuk lebih maju.

Cemerlang dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa, sebagai Perdana Menteri, Tun Abdullah perlu meningkatkan kerjasama dua hala dan pelbagai hala, aktif mengetuai Persatuan Bangsa-Bangsa Asia Tenggara (ASEAN), Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) apabila Malaysia menjadi pengerusi organisasi antarabangsa.

Tun Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009.